Wednesday, December 17, 2008

Tempelano De' Soy (Produk De'Kipas)

Disclaimer: Entry ini diambil dari blog lama.

Kesian makcik tengok blog ni. Berhabuk sungguh. Lagi-lagi berhabuk apabila ahli-ahli PLAS buat kempen kat sini. Meh sini makcik buat iklan baru.

Haaaa.... Korang tau tak ape benda dalam gambar ni? Ini la produk terbaru De'Kipas. Kalau pakai benda ni, sure kulit korang tegang semacam. Di De'Kipas, semua orang berhak untuk mencantikkan diri. Maksudnya, baik anda ada duit, mahupun tak ada, anda masih mampu untuk memiliki produk kecantikan kami. Bagaimana? Itu adalah rahsia yang perlu anda tanya kat pengedar-pengedar produk kami.

Ehh, lupa pulak makcik nak bgtau nama produk terbaru ni. Namanya adalah:
TEMPELANO DE' SOY

Cara memakai:
1. Lenyekkan sekiub Tempelano De'Soy bersama-sama dengan tepung dan sedikit air suam.
2. Kacau sehingga sebati.
3. Tempelkan kat muka setebal 5 inci.
4. Biarkan selama 30 saat.
5. Basuh dengan ais diikuti dengan air garam.
6. Lap muka.

Begitu mudah dan cepat kan? Sekiranya korang guna Tempelano De'Soy, korang akan dapat lihat hasilnya dalam masa 10 hari sahaja. Kalau tak berhasil, korang goreng je la Tempelano De'Soy ni macam goreng Tempe biasa. Pastu makan dengan nasi. Sure korang kenyang.

Thursday, October 09, 2008

Tolong!!!

Rynak minta tolong!


...


Tolong sponsorkan router sebijik.


Terima kasih... :D

Monday, September 22, 2008

Majlis berbuka puasa.

Uhuk... salam berhemah dari aku kepada geng-geng lanun sekalian.

Oleh kerana blog ini jarang dikujungi oleh pengunjung-pengunjung blog asing yang lain, hatta aku menggunakan peluang keemasan ini untuk menulis repekan barang se rangkap dua.

Dengan izin, bismillahirahmanirahim.

Buat julung-julung kalinya dan seperti semua ahli geng lanun sudah sedia maklum, bahawa telah diadakan Majlis Berbuka Puasa diantara ahli-ahli lanun pada 21 September 2008, bersamaan hari Ahad, di Chicken Hartz Sunway Piramid.

Ahli-ahli Lanun yang hadir:
  1. Presiden: Arm Pis Punya So'od
  2. Lajnah Menyakat: Atyrak Tyreks Toxic
  3. Lajnah Suara Sumbang: Korak BWOV
  4. Lajnah Jualan Langsung: Ajaik Ascorp QSHE
  5. Lajnah Chipsmore: Apeng Afina Ketobbybuit
Dan seorang ahli jemputan khas:
  1. The Mosaicist

Upacara kami hanyalah makan-makan sahaja sambil mengerling awek-awek di meja sebelah yang pinggannya bertimbun mengalahkan jumlah pinggan kami yang tidak langsung bertimbun dan kami siap mencuri lagi hati goreng dua ketul dan ayam goreng seketul.

Banyak benda kelakar yang terjadi.

Semua laki-laki sesat! Ajaik, Korak dan Arm sesat di dalam Sunway Piramid... katanya, tak jumpa Chicken Hartz. Apeng pulak sesat dari Federal Highway!! Bila Apeng dah sampai ke Sunway Piramid, dia boleh pulak tanya 3 orang awek di mana Sunway Piramid tu. Dengan gelakkan kecil, 3 awek itu berkata, "Tu.. kat belakang tu.." wakakakakaaa..

Lagi cerita Apeng... dia tengah makan Onion Ring, tiba-tiba dia tanya, "Apa benda ni?" Lalu aku kata, "tu Onion Ring." Lalu dia makan sambil menjawab dengan sedihnya, "Aku amik ni banyak-banyak sebab aku ingatkan ni sotong... rupanya Onion Ring." Kami gelak-gelak semeja. Apeng sungguh inesen! Walaupun beliau berada di laut setelah sekian lama, masih tidak dapat mengenal antara sotong dan bawang. wakakakakakaa...

Sedang kami semua sedang minum-minum dan makan-makan, tiba-tiba radio di Chicken Hartz memainkan laungan takbir raya. Masing-masing pandang muka antara satu sama lain... "Uik... dah raya ke?", detik hati aku. Ada orang menjawab (tak ingat sapa.) "Salah pasang kaset tuh."

Polisi di Chicken Hartz mengatakan bahawa makanan yang tidak habis akan dicaj extra. Maka, aku dan The Mosaicist memandang nasib akan dua ketul hati goreng yang disangkakan cendawan goreng itu yang tidak bersentuh oleh sesiapa. Semua Ahli tak makan hati. Lalu aku dan the mosaicist ambil tisu dan menyumbat hati goreng itu didalam kocek beg askar Ajaik. Dan lagi seketul ayam goreng yang tidak dapat habis, kami masukkan ke dalam plastik beg.

Disebabkan kami telah berjanji untuk bergambar sakan, dan sedang kami mencari port untuk bergambar, tiba-tiba The mosaicist mengeluarkan kenyataan bahawa kami ni seperti warga asing (bangla, orang siam serta Vietnam) yang teruja kerana baru pertama kali menjejakkan kaki ke Sunway Piramid dan nak bergambar disemua tempat... termasuklah ditangga, papan iklan dan juga di tepi kolam yang airnya cetek... kata The mosaicist, macam "wooooo... inilah Sunway Piramid."

Dan rakan-rakan, dibawah ini adalah warga-warga asing tersebut...

sila baca dari kiri... (Vietnam, Bangla, Siam, Cambodia, Malaysia dan Indonesia)

Alangkah lagi double triple best kalau ahli-ahli geng lanun yang lain, Awanak, Rinak dan juga Ajah dapat menghadirkan diri. Tak apa... jika ada lain kali pertemuan yang akan di-arrangekan, pastikan kamu semua hadir tau! :D

Wednesday, September 10, 2008

BaJu RaYa LaNuN !

Adakah anda masih tercari-cari baju raya sempena hari raya Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi?

Jangan risau! Apa yang anda cari, mungkin anda akan terjumpa di sini!

MEMPERKENALKAN !!!


"Baju Hari Raya Keluaran Lanun"



Kami menyediakan pelbagai fesyen lanun supaya hari raya anda akan kelihatan lebih menarik dan meriah. Fesyen ini sesuai untuk semua peringkat umur. Didatangkan dalam pelbagai saiz: XXS, XS, S, M, L, XL, XXL, XXXL.

Jika tahun-tahun lepas, anda sekeluarga beraya dengan memakai baju berwarna sedondon, apa kata tahun ini anda sekeluarga cuba memakai baju-baju raya lanun pula? Tentunya anda akan menjadi "center of attention" satu Malaysia!

Sila tempah sekarang. Kami jamin, baju akan sampai sehari sebelum hari raya!

Tempahan diambil bermula hari ini sehingga 2 hari sebelum hari raya. Untuk tempahan, sila kontek mana-mana ahli lanun di dalam blog ini atau emailkan tempahan anda di: baju_raya_lanunku@genglanun.com

Sila nyatakan juga alamat, email, no telefon, saiz yang anda berminat, harga yang anda ingin bayar, kuih raya yang anda sediakan di rumah, serta berapa banyak duit raya yang anda akan beri jika kami datang beraya di rumah anda.



P/s: Terima kasih kepada ahli lanun kami: Tengkorak Hidup kerana sudi menjadi model untuk gambar ketiga!

Tuesday, September 09, 2008

Mystery Of The Pirate Of The Bloggerian - Episode 4

Seperti yang kita telah pelajari dari entri lepas ye murid-murid, memang benar Awan anak gadis Puteri Nira itu sebenarnya merupakan anak kepada Rima a.k.a Tulang Bernyawa juga. Lantasan dari sifat extreme Tulang yang memilih untuk berjuang sebagai lanun di perairan antarabangsa kampung tersebut, pihak istana memutuskan untuk terus merahsiakan dahulu perihal Akta Keselamatan Negara ini. Tulang tidak pernah berasa kecil hati dengan keputusan baginda Raja, kerana beliau amat menghormati daulat serta bersyukur kerana telah dianugerahi seorang isteri yang manis, dan anak gadis yang sadis; eh silap, yang comel dan best.

Namun, di sebalik kesulitan beliau untuk menghabiskan masa berchenta bagai nak gila dengan isteri jelita disebabkan larangan pihak istana, beliau merasakan terpanggil untuk menjalankan amanah diraja sebagai putera mahkota Kampung Dot Net tanah airnya. Maka, diusahakan sedaya upaya berbagai cara baginya berbakti pada rakyat jelata sehingga membuatkan beliau mengambil keputusan untuk menjadikan karier lanun sebagai landasan baginya asalkan nasib rakyat tetap terbela. Boleh ke camtu? Eleh, ramai je pemimpin sekarang buat kerja yang sama. So, apa nak dikisahkan sangat dengan si Rima? Kan semua?

By the way, (e’eh, terguna bahasa penjajah laa pulak) masa yang diisi tiga sahabat penglanun terhebat itu sentiasa diwarnai dengan keceriaan mereka merompak sini sana (cam tak kena je ayat…).

Hifaz dengan ilmu pawang yang boleh tahan power jugak tu, bertindak sebagai perancang strategi bagi meminimakan risiko yang bakal ditanggungi. Rima pula sebagai pelaksana misi sentiasa bersedia dan menyetelkan cabaran yang dihadapi. Ratih? Masih lagi cuma duduk di tepi sambil mengomen seorang diri apa yang beliau tak puas hati.

Sayugia kembara lanun-lanun itu diteruskan, terserempak pula mereka dengan sebuah kapal durjana bernombor plet A 09 (kapal daftar kat JPJ Perak kot). Kelihatan dua nakhoda pedagang yang merantau seantero dunia membawa misi ‘Mari membeli Q-She dan L-She secara timbang kati’.

Sungguh aneh melihat satu kapal dua nakhoda seperti ini, membuatkan Hifaz dan Rima terpaksa menyusun kembali strategi agar penglanunan mereka tidak gagal kemudian nanti.

Dentuman meriam buluh (atas kapal?) membuatkan kedua-dua nakhoda kapal pedagang asing tadi tersentak dan menyedari kehadiran sebuah kapal tempatan cuba memintas mereka. Atas dasar ‘prospek ejen jualan langsung ada di mana-mana hatta laut sekalipun’, mereka menaikkan handbrake kapal tersebut tanpa menyedari bahaya yang bakal mereka hadapi.

Sepantas ikan di air boleh tahu jantan betinanya, sepantas itu jugalah tiba-tiba Rima a.k.a Tulang Bernyawa ini sudah menerjah di atas kapal mereka.

“Akulah Si Tulang empunya lautan ini. Apa hajat kamu kemari membuat onar di sini?” soal Si Tulang dalam nada suara ala-ala vokalis grind-core yang disegani.

“Watashiwa, Hayabusa Ajia. Lu boreh panggil Ajia sahaja. Ini kawan gua dari Shina, Peng Ka Yu. Panggil ria Ah Peng,” seorang lelaki Jepun yang comel lagi macho bersuara. Tulang terdiam. Seorang Jepun dan China berkongsi nakhoda satu kapal?

“Haiyaa inchik, wa punya kawan sama-sama dengan gua latang sini mau carik sechopstik nasik lorr. Lu apa bikin kasi fitnah sama kita olang kata mau buat onar pulak? Aduyai…”

“Ahhh! Aku tatak kira, eh silap, tak kira! Tak dibenarkan sesapa pun datang ke sini untuk berniaga. Serahkan segala barang-barangmu yang berharga sebagai lunas membayar denda,” sungguh ganas ayat yang disusun si Tulang itu.

“Woo, belum kasik bukak kedai pon lu olang sudah mau caj saman kaa? Ini apa punya maritim business law lu pakai haa? Soh chai…” nampaknya apek bernama Ah Peng ini memang tak makan saman dengan kebengisan si Tulang.

“Ini worang kasik rompat (lompat tau, bukan rompak) sama kira punya kapal surah tentu ada sebab woo. Lu rangan kasik marah sama ria. Kira kan orang rimur, kaya rengan buri bahasa,” sampuk Ajia lantas menyekeh kepala Ah Peng yang dianggap beliau amat kurang ajar dengan tetamu tak diundang itu.

Tulang terdiam lagik. Orang Jepun pun tahu budi bahasa? Dia mula terasa. Dianggapnya kedua-dua lelaki ini sebagai keji pada mulanya, namun (salah seorang dari mereka) tak lah keji mana pun sebenarnya.

“Mr. Ajia. Saya datang ke kapal kamu membawa hajat untuk kiranya dapatlah saya merompak harta barangan kamu. Saya mintak maaf kalau kata-kata saya tadi ada yang menyinggung perasaan kamu,” Whoah! Si Tulang sudah berubah nada kepada kesopanan dan kesusilaannya! Amat hebat mamat Jepun ini kerana berjaya mengubah pendekatan Tulang dalam tatacara penglanunannya.

“Orrhh. Begiru rupanya hasrat ruan hamba. Mengapa tak diberitau saja, sebariknya bermuka-muka mengatakan mahu mengurip denda?” balas Ajia pula.

“Ohh, saya sudah terbiasa berkasar sebegitu rupa. Al-maklum laa, mangsa-mangsa rompakan saya sebelum ni tak pernah yang ada etika budi bahasa,” jawab Tulang sambil tertawa bergurau senda.

Tiba-tiba Ajia mengeluarkan sebilah pedang samurai dihunuskan ke leher Tulang membuatkan ketawa Tulang tadi lenyap begitu sahaja.

“Saya, Samurai Ajia takkan sesekari membenarkan kamu merampas harta saya. Asia untuk asia, Ajia untuk Ajia!” dengan begitu cekap dan bersahaja, Tulang menunduk elak libasan pedang Ajia itu.

Namun ketangkasan Ajia tidak boleh diperkecilkan. Bagai kilat menyambar, Ajia menyerang pula Tulang dari arah sisi sehingga membuatkan Tulang tak sempat melarikan diri lantas tercalitlah luka di hati, eh silap lagi, luka di kaki.

“Celaka sama kamu ini! Kalau benar jantan, bertarunglah dengan aku tanpa pedang itu. Baru kita boleh tahu siapa pendekar sejati!” getus Tulang dalam keperitan menahan darah yang mengalir keluar tanpa henti.

“Hoho, Nippon sejati seperti saya takkan sesekari meringgalkan warisan samurai ketika berperang. Maka, pemintaan kamu itu tirak rapat saya penuhi. Bersedia rah untuk mari!!! (mati)” diangkat pedang itu tinggi-tinggi, kini Ajia berada dalam posisi selesa untuk menamatkan riwayat Tulang.

Tiba-tiba sebatang damak tercacak di dada Ajia. Beliau terkejut. Matanya semakin berpinar-pinar. Kesedarannya semakin pudar. Yang dapat dilihat dari seberang kapal milik Encik Tulang itu, hanya kelibat seorang gadis tersenyum puas ke arahnya.

Apakah yang sedang berlaku? Dan apakah yang akan berlaku seterusnya? Minda Ajia tertanya-tanya.

Jawapannya, sudah tentu di entri akan datang.

Bersambung…

Tuesday, September 02, 2008

Mystery Of The Pirate Of The Bloggerian - Episode 3

Sudah dua minggu Ratih dan Hifaz menbanting tulang bersama Tuan Tulang melaksanakan tugasan-tugasan di laut. Dalam jangkamasa yang begitu singkat itu, persahabatan di antara ketiganya terjalin dengan begitu rapat. Di sebalik kerja Tulang melanun dan menyamun kapal luar, Hifaz tidak sedikitpun hilang rasa hormatnya terhadap Tulang malah semakin bertambah-tambah kukuh lagi. Ratih pula seperti biasa masih banyak memendam misteri walaupun diakui Tulang dan Hifaz bahawa gadis tersebut sebenarnya memiliki kelebihan tersendiri yang tersembunyi.

Di hujung sempadan sebelah sana kampung, diam sebuah keluarga Diraja yang memerintah kampung tersebut. Keluarga kecil itu dianggotai sepasang raja dan permaisuri serta seorang puteri. Namun ramai yang masih belum tahu rahsia sulit tersimpan dalam istana menanti ini.

Pasangan Diraja ini amat low-profile sifatnya memandangkan tak ramai yang (ingin mengambil) tahu pengkhabaran mereka dari hari ke hari. Bagi rakyat semua, cukuplah sekadar adanya Tuan Tulang sebagai penjaga kemakmuran kampung tersebut. Itu sudah cukup. Biaq pi laa sama ini keluarga Diraja asalkan depa tak kacau kita, bak kata orang utara.

Namun rahsia yang tersemat sejak sekian lama, berbelas tahun tempohnya bakal terbongkar jua.

Puteri Nira (kiranya puteri neh sweet gille cam gula laa… jaga-jaga, leh kena kencing manis kalo ada sesapa nak ngorat dia) merupakan Puteri Diraja yang penuh dengan misterinya tersendiri.

Memandangkan beliau adalah anak tunggal, ramai yang tertanya-tanya mengapakah beliau belum mahu berkahwin sedangkan kemahkotaan bakal raja yang seterusnya terletak pada tangan beliau. Barangsiapa yang dapat memperisterikannya pastilah turut mewarisi takhta Diraja mengikut adat tradisi Kampung Dot Net sejak dulu hingga kini memandangkan beliau adalah anak perempuan tunggal pasangan Diraja tersebut.

Sudah ramai anak-anak raja yang hadir ke istana sejak berbelas tahun dulu kerana ingin mengahwini beliau sebagai cara meluaskan tanah jajahan, namun seringkali ditolak mentah-mentah oleh baginda raja dan permaisuri. Kini, kehidupan mengasingkan diri mereka itu membuahkan hasil apabila sudah tiada siapa lagi yang mengambil peduli untuk melaksanakan apa yang dihajati iaitu menjadikan Puteri Nira sebagai sang isteri.

Tanpa mereka sedari, di perkarangan istana luas yang tertutup dengan pagar elektrik terkawal rapi itu, terdapat kelibat seorang gadis remaja yang riang ria mengejar rama-rama ala-ala cerita Nordin Ahmad zaman dulu kala.

Apakah misteri yang disembunyi? Mengapakah Puteri Nira masih kekal bersendiri? Dan siapakah pula gadis bongek yang dah macam budak tadika dok kejar rama-rama tanpa motif tadi?

Misteri-misteri tersebut akan dibongkarkan pada keluaran kali ini agar saudara-saudari pembaca sekalian tidak bosan menanti entri terbaru nanti.

Sebenarnya ketika masih bersekolah, Puteri Nira telah dinikahkan dengan seorang penduduk tempatan yang berasal dari waris kebanyakan namun berreputasi sebagai Orang Kaya Besar di negeri itu. Hakikat mengejutkan ini, baginda Raja rasakan bakal menimbulkan desas-desus kurang baik terhadap budi bicara beliau membuat keputusan melibatkan institusi kedaulatan istana lantas dirahsiakan perkahwinan ini dari sekalian umum.

Calon yang dipilih baginda adalah teman baik Puteri Nira sendiri sejak kecil. Keluhuran budi pekertinya menggamit pasangan Diraja ini untuk tidak berlengah-lengah merembat jejaka idaman se-Malaya itu agar dapat dipersiapkan sebagai waris kemahkotaan Diraja andai ajal maut datang memanggil baginda secara tiba-tiba.

Sudah tentu Puteri Nira yang sweet gila tapi agak gatei itu juga menyambut baik cadangan kedua orang tuanya. Lantas tanpa membuang masa mereka pun membuat anak dengan kadar segera (mwahaha, sungguh keji ayat hamba ini!).

Alhamdulillah, mereka dikurniai seorang cahayamata yang turut ber-entitle kan gelaran puteri satu hari nanti.

Maka diberilah nama; Sharifah Awan Gebu Mulus binti Memanda Tuan Besar Orang Kaya Tun Syed Rima Irama a.m.n, p.j.k, w.w.e, n.w.a, b.w.o.v… ataupun nama gelaran pendek baginya, dipanggil Awan sahaja.

Hoh? Terkejut? Sabar. Ada banyak lagi kejutan bakal menyusul lepas neh…

Bersambung…..

Tuesday, August 26, 2008

Mystery Of The Pirate Of The Bloggerian - Episode 2

Pagi yang agak cerah itu seperti biasa dihujani riuhan orang ramai berjual beli di pasar basah dalam Kampung Dot Net. Sememangnya terkenal sebagai tempat pedagang laut meraih rezeki menjual hasil tangkapan seperti ikan, sotong, ketam dan sebagainya. Bukan sahaja orang kampung, malah orang luar juga turut ramai yang memenuhi pasar di tepi dermaga itu.

Di dalam banyak-banyak peniaga, yang paling terkenal di situ adalah pedagang popular bernama Rima (mungkin pula anak peminat Roma Irama). Umum mengetahui di samping menangkap ikan, beliau juga turut menjalankan aktiviti lanun di perairan terdekat untuk mengaut keuntungan hasil rompakan daripada pedagang-pedagang asing yang cuba merentasi kawasan tersebut. Namun ini tidak pernah menimbulkan sebarang rasa takut kepada penduduk kampung tersebut kerana rata-rata memahami tujuan asal beliau melanun. Tidak lain dan tidak bukan bagi menghalang pihak luar dari masuk berdagang di situ dan mengacau periuk nasi nelayan-nelayan tempatan. Hasil rompakan pula seringkali beliau gunakan untuk memajukan kampungnya yang agak mundur tidak sepesat pembangunan di sekitar daerah-daerah yang lain.

Saudara Rima ini memang berketurunan pahlawan-pahlawan melayu dulukala. Beliau amat terkenal dengan panggilan Tulang Bernyawa dimana setiap kali beliau menunjukkan keperkasaannya, ramai yang tumpas walaupun rata-rata ramai diantara mereka memiliki senjata apabila menentang si Tulang yang sehelai sepinggang ini.

Kehadiran Hifaz dan Ratih ke pasar itu pada pagi ini tidak disedari orang ramai sebagai pendatang luar kerana kebanyakan pengunjung di situ tidak mengecami yang manakah penduduk kampung dan yang manakah pendatang. Jadi amat mudah untuk Hifaz dan Ratih menyusup masuk di sebalik ratusan pengunjung tetap pasar itu sehinggalah mereka tiba ke jeti tempat Rima (si Tulang) memunggah hasil tangkapan.

“Saudara, berapakah harga ikan keli ini?” Sejak bila pulak ada ikan keli di dalam laut? Nampak sangat barang yang hendak dijual si Tulang ini merupakan barang hasil penglanunan.

“Sebelum ini tidak pernah ada orang bertanya harga ikan kepadaku memandangkan kaunter jualanku ini amat masyhur sekali di kampung ini. Seringkali mereka membayar sahaja jumlahnya dan mengambil barangan tersebut. Maka, aku ingin bertanya apakah saudara dan saudari ini pertama kali datang ke sini?”

Hifaz sedikit kehairanan.

“Masakan saudara boleh tahu begitu sekali? Takkanlah sebelum ini tidak ada seorang pun pernah bertanya dan saling menawar harga untuk membeli hasil tangkapan tuan?”

Tiba-tiba seorang pelanggan yang kebetulan sedang membuat belian mencelah:

“Benarlah saudara ini orang luar. Hasil tangkapan Tuan Tulang ini tidak pernah diniagakan secara komersial. Sebaliknya sesiapa yang menginginkannya boleh sahaja mengambil secara percuma dan membayar mana yang setakat termampu. Kalau saudara dan saudari ingin tahu, Tuan Tulang ini adalah amat pemurah orangnya.” Hifaz terdiam.

Dia memandang Ratih dengan seribu satu pandangan.

“Encik Tuan Tulang, andaikata tiada keberatan, mahukah Tuan mengambil kami bekerja bersama Tuan berlayar di atas kapal tuan? Kami sebenarnya sedang dalam misi mencari pengalaman di dunia luar dan kami amat tertarik untuk bersama-sama tuan menabur bakti dan jasa pada penduduk kampung ini agar sekelumit penghargaan dapat kami bawa pulang untuk dibuat bekalan ilmu sebelum kami pergi nanti.” Kini giliran Tulang Bernyawa pula terdiam.

Apakah logik apa yang dinyatakan pemuda ini? Apakah terdesak benar sehingga sanggup menawarkan diri untuk pekerjaan yang berisiko tinggi ini? Tulang tidak dapat memikirkan alasan untuk menghalang keinginan Hifaz dari dipenuhi.

Di sudut tepi hanya memerhati, Ratih tertawa kecil dalam hati memikirkan betapa Hifaz begitu mudah mengheretnya ke satu situasi di mana beliau sendiri tidak begitu pasti akan natijahnya nanti. Namun tidak pula dibantahnya, melainkan kerelaan hati semata-mata mengikut apa yang diinginkan Hifaz, demi atas nama sebuah persahabatan sejati.

Bersambung.....

Tuesday, August 19, 2008

Mystery Of The Pirate Of The Bloggerian - Episode 1

Haza

Di hujung kaki bukit itu, kelihatan seorang pemuda terbongkok-bongkok melewati senja. Sudah hampir dua purnama beliau meredah gunung ganang, hutan belukar dan seribu satu dugaan cuaca, namun masih digagahi langkah beliau demi mencari secebis erti agar beliau tahu harga diri beliau yang dicari-cari.

Hifaz (tatau laa kalo bapak dia peminat kumpulan Sofaz ke apa) menyusuri denai yang semakin dimamah kegelapan malam tatkala matahari kian berlabuh menyembunyikan diri bagi syif hari itu. Di hujung pohon cemara beliau dapat melihat kelibat seorang wanita sedang terduduk memandang ke langit dalam keadaan tak beremosi.

“Saudari apa bikin di sini?”

“Menyaksikan kerdipan bintang yang kian menampakkan diri. Aku sentiasa terpesona akan keindahan alam tapi seringkali terlupa mengucap syukur pada-Nya.” Tersentuh hati Hifaz mendengarkan ucapan gadis tersebut yang kelihatan padanya memiliki 1001 misteri keistimewaan di sebalik kesederhanaan peribadinya. Terpanggil untuk mengenali gadis ini dengan lebih dekat, Hifaz memutuskan untuk menghentikan seketika kembara dan mengambil peluang ini duduk melepas lelah barang sehari dua.

Perkenalan Hifaz dengan gadis misteri yang akhirnya dikenali dengan nama Ratih itu banyak mengajar Hifaz erti bersahabat dengan seseorang yang kita belum kenal hati budinya. Dalam sedikit masa sahaja, Hifaz sudah agak selesa bersama Ratih berkongsi duka dan tawa merenung kehidupan tanpa memerlukan komitmen remeh temeh sebagai syarat untuk berhandai taulan.

Hifaz menjelaskan tujuan sebenar beliau melakukan kembara tersebut kepada Ratih yang mana ketika itu beliau berkeinginan melihat dunia luar dan apa yang ditawarkan padanya untuk beliau warnai kehidupan beliau dengan pengalaman yang tak mampu dijual beli di mana-mana.

Dalam keselambaan, Ratih mengusul untuk turut menyertai Hifaz. Hifaz memikirkan Ratih ini mungkin golongan puak Nomad yang suka berhijrah ke merata tempat mencari rezeki dan pengalaman memandangkan namanya pun seperti orang asing di kawasan itu.

Tanpa sebarang prejudis mereka meneruskan perjalanan hingga mereka tiba di sebuah kampung bernama Kampung Dot Net

Bersambung…

Wednesday, July 02, 2008

Ucaprepek Tuan Pres Yang Ke-Satu

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Alhamdulillah, akhirnya saya selaku presiden PLAS yang hensem, telah berkesempatan melawat markas persidangan sulit parti hari ini, sekaligus merubah wajah markas yang asalnya hodoh kerana dipilih oleh Cik Bendahari Kaki Songlap Dana kepada wajah yang lebih fresh dan menepati imej yang dibawa oleh parti.

Ahli-ahli sekalian suka tak? Bagussssssss!

Akhir kata, saya ingin membuka cadangan supaya ditukar cogankata parti yang dicipta sekali lagi oleh Cik Bendahari Kaki Songlap Dana kerana tidak merangkumi intipati perjuangan parti yang sepenuhnya dan mampu menjatuhkan kredibiliti parti dalam jangkamasa panjang.

Dengan ini, saya mencadangkan, cadangan dibuka!

Babai!

Thursday, June 19, 2008

Jawatankuasa PLAS

Assalamualaikum. Terduduknya makcik di sini untuk memperkenalkan ahli jawatankuasa PLAS yang samada dipersetujui atau tidak oleh mereka-mereka yang terlibat.

Presiden: Arm Pis Punya So'od

Setiausaha Tak Sulit: Saripah Airynak Runah Bintam

Lajnah Pemakanan: Aiwanak Masak Lomak

Lajnah Menyakat: Atyrak Tyreks Toxic

Lajnah Suara Sumbang: Korak BWOV(nama sebenar dirahsiakan)

Lajnah Jualan Langsung: Ajaik Ascorp QSHE

Lajnah Chipsmore: Apeng Afina Luxor (kejap ada kejap takda bak kata presiden)

Untuk aktiviti ucapan alu-aluan seterusnya makcik akan beri laluan kepada tuan presiden untuk membuat teksnya. Untuk ahli-ahli yang tak puas hati dengan pembahagian jawatan, sila emailkan aduan anda ke alamat email ini: saya_tak_puas_hati@plas.com

Dengan ini, makcik menyeru ahli-ahli Plas supaya membuat pembayaran ikelas kepada makcik supaya makcik dapat menyetelkan bil kad kreditnya. Sekian, Terima kasih.