Tuesday, August 26, 2008

Mystery Of The Pirate Of The Bloggerian - Episode 2

Pagi yang agak cerah itu seperti biasa dihujani riuhan orang ramai berjual beli di pasar basah dalam Kampung Dot Net. Sememangnya terkenal sebagai tempat pedagang laut meraih rezeki menjual hasil tangkapan seperti ikan, sotong, ketam dan sebagainya. Bukan sahaja orang kampung, malah orang luar juga turut ramai yang memenuhi pasar di tepi dermaga itu.

Di dalam banyak-banyak peniaga, yang paling terkenal di situ adalah pedagang popular bernama Rima (mungkin pula anak peminat Roma Irama). Umum mengetahui di samping menangkap ikan, beliau juga turut menjalankan aktiviti lanun di perairan terdekat untuk mengaut keuntungan hasil rompakan daripada pedagang-pedagang asing yang cuba merentasi kawasan tersebut. Namun ini tidak pernah menimbulkan sebarang rasa takut kepada penduduk kampung tersebut kerana rata-rata memahami tujuan asal beliau melanun. Tidak lain dan tidak bukan bagi menghalang pihak luar dari masuk berdagang di situ dan mengacau periuk nasi nelayan-nelayan tempatan. Hasil rompakan pula seringkali beliau gunakan untuk memajukan kampungnya yang agak mundur tidak sepesat pembangunan di sekitar daerah-daerah yang lain.

Saudara Rima ini memang berketurunan pahlawan-pahlawan melayu dulukala. Beliau amat terkenal dengan panggilan Tulang Bernyawa dimana setiap kali beliau menunjukkan keperkasaannya, ramai yang tumpas walaupun rata-rata ramai diantara mereka memiliki senjata apabila menentang si Tulang yang sehelai sepinggang ini.

Kehadiran Hifaz dan Ratih ke pasar itu pada pagi ini tidak disedari orang ramai sebagai pendatang luar kerana kebanyakan pengunjung di situ tidak mengecami yang manakah penduduk kampung dan yang manakah pendatang. Jadi amat mudah untuk Hifaz dan Ratih menyusup masuk di sebalik ratusan pengunjung tetap pasar itu sehinggalah mereka tiba ke jeti tempat Rima (si Tulang) memunggah hasil tangkapan.

“Saudara, berapakah harga ikan keli ini?” Sejak bila pulak ada ikan keli di dalam laut? Nampak sangat barang yang hendak dijual si Tulang ini merupakan barang hasil penglanunan.

“Sebelum ini tidak pernah ada orang bertanya harga ikan kepadaku memandangkan kaunter jualanku ini amat masyhur sekali di kampung ini. Seringkali mereka membayar sahaja jumlahnya dan mengambil barangan tersebut. Maka, aku ingin bertanya apakah saudara dan saudari ini pertama kali datang ke sini?”

Hifaz sedikit kehairanan.

“Masakan saudara boleh tahu begitu sekali? Takkanlah sebelum ini tidak ada seorang pun pernah bertanya dan saling menawar harga untuk membeli hasil tangkapan tuan?”

Tiba-tiba seorang pelanggan yang kebetulan sedang membuat belian mencelah:

“Benarlah saudara ini orang luar. Hasil tangkapan Tuan Tulang ini tidak pernah diniagakan secara komersial. Sebaliknya sesiapa yang menginginkannya boleh sahaja mengambil secara percuma dan membayar mana yang setakat termampu. Kalau saudara dan saudari ingin tahu, Tuan Tulang ini adalah amat pemurah orangnya.” Hifaz terdiam.

Dia memandang Ratih dengan seribu satu pandangan.

“Encik Tuan Tulang, andaikata tiada keberatan, mahukah Tuan mengambil kami bekerja bersama Tuan berlayar di atas kapal tuan? Kami sebenarnya sedang dalam misi mencari pengalaman di dunia luar dan kami amat tertarik untuk bersama-sama tuan menabur bakti dan jasa pada penduduk kampung ini agar sekelumit penghargaan dapat kami bawa pulang untuk dibuat bekalan ilmu sebelum kami pergi nanti.” Kini giliran Tulang Bernyawa pula terdiam.

Apakah logik apa yang dinyatakan pemuda ini? Apakah terdesak benar sehingga sanggup menawarkan diri untuk pekerjaan yang berisiko tinggi ini? Tulang tidak dapat memikirkan alasan untuk menghalang keinginan Hifaz dari dipenuhi.

Di sudut tepi hanya memerhati, Ratih tertawa kecil dalam hati memikirkan betapa Hifaz begitu mudah mengheretnya ke satu situasi di mana beliau sendiri tidak begitu pasti akan natijahnya nanti. Namun tidak pula dibantahnya, melainkan kerelaan hati semata-mata mengikut apa yang diinginkan Hifaz, demi atas nama sebuah persahabatan sejati.

Bersambung.....

Tuesday, August 19, 2008

Mystery Of The Pirate Of The Bloggerian - Episode 1

Haza

Di hujung kaki bukit itu, kelihatan seorang pemuda terbongkok-bongkok melewati senja. Sudah hampir dua purnama beliau meredah gunung ganang, hutan belukar dan seribu satu dugaan cuaca, namun masih digagahi langkah beliau demi mencari secebis erti agar beliau tahu harga diri beliau yang dicari-cari.

Hifaz (tatau laa kalo bapak dia peminat kumpulan Sofaz ke apa) menyusuri denai yang semakin dimamah kegelapan malam tatkala matahari kian berlabuh menyembunyikan diri bagi syif hari itu. Di hujung pohon cemara beliau dapat melihat kelibat seorang wanita sedang terduduk memandang ke langit dalam keadaan tak beremosi.

“Saudari apa bikin di sini?”

“Menyaksikan kerdipan bintang yang kian menampakkan diri. Aku sentiasa terpesona akan keindahan alam tapi seringkali terlupa mengucap syukur pada-Nya.” Tersentuh hati Hifaz mendengarkan ucapan gadis tersebut yang kelihatan padanya memiliki 1001 misteri keistimewaan di sebalik kesederhanaan peribadinya. Terpanggil untuk mengenali gadis ini dengan lebih dekat, Hifaz memutuskan untuk menghentikan seketika kembara dan mengambil peluang ini duduk melepas lelah barang sehari dua.

Perkenalan Hifaz dengan gadis misteri yang akhirnya dikenali dengan nama Ratih itu banyak mengajar Hifaz erti bersahabat dengan seseorang yang kita belum kenal hati budinya. Dalam sedikit masa sahaja, Hifaz sudah agak selesa bersama Ratih berkongsi duka dan tawa merenung kehidupan tanpa memerlukan komitmen remeh temeh sebagai syarat untuk berhandai taulan.

Hifaz menjelaskan tujuan sebenar beliau melakukan kembara tersebut kepada Ratih yang mana ketika itu beliau berkeinginan melihat dunia luar dan apa yang ditawarkan padanya untuk beliau warnai kehidupan beliau dengan pengalaman yang tak mampu dijual beli di mana-mana.

Dalam keselambaan, Ratih mengusul untuk turut menyertai Hifaz. Hifaz memikirkan Ratih ini mungkin golongan puak Nomad yang suka berhijrah ke merata tempat mencari rezeki dan pengalaman memandangkan namanya pun seperti orang asing di kawasan itu.

Tanpa sebarang prejudis mereka meneruskan perjalanan hingga mereka tiba di sebuah kampung bernama Kampung Dot Net

Bersambung…